~salam pembuka bicara~

~salam pembuka bicara~

Monday, August 31, 2009

Ramadhan bulan lahir dan wafatnya Bapa Sosiologi Islam dan dunia


          Waliyuddin Abdurrahman bin Muhammad bin Muhammad bin Abi Bakar Muhammad bin al-Hasan yang kemudian masyhur sebagai Ibnu Khaldun. Tokoh ini lahir di Tunisia pada 1 Ramadan 732 Hijrah (27 Mei 1332) dan wafat di Kaherah, Mesir pada 25 Ramadan 808 Hijrah (19 Mac 1406). 
Seandainya tidak ada satu pernyataan pun, selain oleh ahli sejarah terkenal Barat, Arnold Toynbee (1962) dalam A Study of History: The Growths of Civilizations, maka kita cukup mengetahui siapa Ibnu Khaldun. 

Toynbee menulis: ".....and yet in his Prolegomena (Muqaddimah) to his universal history he was conceived and formulated a philosophy of history which is undoubtedly the greatest work of its kind that has ever yet been created by any mind in any time and place." 

Buku Muqaddimah ini mempunyai enam bab utama iaitu Tamadun manusia secara umum; Tamadun Badwi, bangsa dan kabilah luar; Dinasti, Raja, Khalifah, Pangkat dan Pemerintahan; Negara dan kota, serta semua bentuk tamadun; Aspek mencari penghidupan, keuntungan dan pertukangan; pelbagai ilmu pengetahuan dan kaedah pengajaran. 
Buku ini ialah pendahuluan kepada kitab besar Tarjuman al-'Ibar wa Diwan al-Mubtada' wal Khabar fi Ayyam al-'Arab wal Barbar wa man 'asharahum min dzawi s-Sulthan al-Akbar dan ia menjadi ekstrak prinsip yang bekerja di sebalik aneka manifestasi ilmu pengetahuan, pencapaian dan pengalaman masyarakat manusia dari semasa ke semasa. 

Seperti kitab masyhur lain yang ditulis pengarangnya dalam penjara termasuk al-Mabsut oleh al-Sarakhsi dan al-Fatawa oleh Ibn Taymiyah, Muqaddimah juga ditulis ketika Ibnu Khaldun dalam penjara dan yang terakhir disebut sudah diterjemah ke dalam pelbagai bahasa seperti Perancis oleh William de Sale, Prolégomene historiques d'Ibn Khaldoun; Jerman oleh Annemarie Schimmel, Ibn Chaldun: Ausgewaehlte Abschnitte aus der Muqaddima dan Inggeris oleh Franz Rosenthal (1958), The Muqaddimah: An Introduction to History by Ibn Khaldûn. 

Ibnu Khaldun dalam kitabnya, berkata masyarakat dan negara yang kuat memiliki tiga kriteria. 

Pertama, perpaduan kebangsaan yang kukuh dengan sikap dan perilaku menganiaya, membenci dan menjatuhkan satu sama lain bertukar menjadi saling memberi, menghargai dan melindungi. 
Kedua, kuantiti dan kualiti sumber manusianya. Rakyat yang setia kepada negara akan bertambah makna strategik mahupun tampak positifnya secara ekonomi dan sebagainya jika individu unggul dan cekap. Sebaliknya, keunggulan sumber manusia semata-mata tidak banyak maknanya jika negara dilanda krisis demografi yang membawanya kepada kemusnahan. 

Ketiga, kebangkitan bangsa dan kejayaan negara hanya kekal apabila rakyatnya selalu optimis dan mahu terus bekerja keras. Kejayaan tidak dicapai sekelip mata tanpa melalui proses yang panjang. 

Menurut Ibnu Khaldun, kejatuhan suatu imperium biasanya diawali dengan kezaliman kerajaan yang tidak lagi mempedulikan hak dan kesejahteraan rakyatnya serta sikap sewenang-wenang terhadap rakyat. Akibatnya timbul rasa ketidakpuasan, kebencian dan ketidakpedulian rakyat terhadap undang-undang dan aturan. 

Keadaan ini semakin parah apabila kemudian terjadi perpecahan elit penguasa yang sering berpanjangan disintegrasi dan munculnya petty leaders. 

Berbeza dengan penulis sejarah sebelumnya, Ibnu Khaldun dalam analisisnya berusaha objektif. Pendekatan yang dipakainya tidak normatif, akan tetapi empiris-positivistik. 

Huraiannya berdasarkan pada das sein dan bukan das sollen, pada apa yang sesungguhnya terjadi, bukan apa yang seharusnya terjadi. Hematnya, kejayaan suatu bangsa lebih ditentukan oleh apakah dan sejauh mana mereka secara kolektif berhasil mengurus potensi yang ada padanya semaksimum dan optimal mungkin.
“Kejayaan bangsa ditentukan secara kolektif hasil perpaduan rakyat pelbagai agama, kaum”
 (Lihat Dr Syamsudin Arif (2006): Pangkal Kejatuhan dan Kejayaan Bangsa) 

Sumber: Berita Harian Online, 30hb Ogos 2009 (editted)



No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails