~salam pembuka bicara~

~salam pembuka bicara~

Sunday, June 14, 2009

Isu bahasa Inggeris yang tak sudah-sudah..apa dah jadi??

Berita Harian, 14 Jun 2009:

CADANGAN mewajibkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lulus Bahasa Inggeris (BI) untuk layak menerima sijil penuh SPM mendapat reaksi berbeza pelbagai pihak. Wartawan Berita Minggu, AHMAD NAIM TAHIR dan ROHANIZA IDRIS mendapatkan pandangan Profesor Pendidikan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) yang juga Ketua Pengkaji Kesan Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di Sekolah Rendah dan Menengah 2008, Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Haron mengenai cadangan itu.

Soalan; PERLUKAH BI diwajibkan lulus untuk melayakkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendapat sijil penuh seperti yang dibangkitkan Kementerian Pelajaran, baru-baru ini? 

Dr: Kita perlu fikir dulu perkara ini. Pertamanya, apa erti 'wajib lulus' BI untuk mendapat sijil SPM? Keduanya, apakah piawai atau standard untuk lulus? Bagaimanakah ia ditentukan? Adakah ia berdasarkan rujukan norma atau rujukan kriteria. 

Secara kasar ertinya seperti berikut, jika markah lulus ditentukan berdasarkan taburan markah keseluruhan, calon yang mengambil BI pada sesuatu ketika (min dan sisihan piawai), maka min dan sisihan lazim itu boleh berubah dari semasa ke semasa, tetapi peratus gagal dan lulus tidak banyak berubah dari semasa ke semasa. Jika markah lulus ditentukan berdasar rujukan kriteria, standard dan kriterianya ditentukan dulu dan bilangan calon yang gagal adalah bilangan yang tidak mencapai aras atau standard yang ditentukan itu. Apakah amalan menentukan markah lulus BI SPM sekarang? Ketiga, apabila dasar ini hendak dikuatkuasakan... tahun depan atau tiga atau lima tahun akan datang?


Soalan: Apakah rasional di sebalik cadangan itu? Tidakkah ia memberi kesan buruk kepada pelajar luar bandar, terutama orang Melayu yang dikatakan lemah dalam pembelajaran BI? 

Dr: Saya amat bersetuju penguasaan BI pelajar kita perlu dipertingkatkan. Soalnya apakah pendekatannya? Kenapa Kementerian Pelajaran mencadangkan pendekatan untuk mewajibkan lulus BI bagi mendapatkan sijil SPM? Apakah tujuannya? Nampaknya ia satu langkah yang difikir dan cadangan untuk menggalakkan pelajar belajar bersungguh-sungguh BI. Ia galakan melalui satu 'ugutan' – satu kesan buruk. Jika tidak lulus BI, tidak dapat sijil SPM, tak dapat sijil SPM bererti banyak peluang pekerjaan akan tertutup, peluang hidup dan masa depan akan sempit. Pelajar yang mana akan mendapat akibatnya? Sebahagian besar pelajar yang gagal BI sekarang ialah pelajar Melayu/Bumiputera daripada keluarga sosioekonomi rendah, terutama di luar bandar dan pedalaman. Pelajar ini yang mengharapkan saluran pendidikan untuk mendapat peluang kehidupan yang lebih baik, tentu akan hampa dan tersekat. 

Jika ia tidak wajar dilaksanakan, kenapa? 

Soalnya kenapa pelajar ini gagal BI sekarang? Ini perlu dibuat analisis dan dicari puncanya dan difahami. Antara yang perlu dikaji ialah apakah kaedah menentukan lulus atau gagal. Pada pandangan saya, kebanyakan pelajar bukan tidak sedar kepentingan BI, tetapi menghadapi masalah belajar kerana cara mereka diajar boleh dipersoalkan keberkesanannya. Misalnya, Profesor Diraja Ungku Aziz mempersoalkan keberkesanan pendekatan Communicative English (CE) yang menjadi asas pembinaan kurikulum dan kaedah pengajaran yang diamalkan di Malaysia sejak lebih 20 tahun lalu. Saya setuju pendapat ini. Jika kurang keberkesanan pendekatan ini boleh diterima, maka logiknya ialah kita perbaiki kurikulum atau program dan kaedah mengajar BI. 

Soalan: Wajarkah Kementerian Pelajaran mendapatkan pandangan orang ramai berhubung cadangan ini? 

Dr: Ya... wajar kerana ia membabitkan semua pelajar dan kebanyakan ibu bapa prihatin mengenai pelajaran anak mereka. Tetapi untuk mendapatkan pandangan dan pendekatan yang lebih mendalam mengenai kurikulum, pendekatan proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) serta peperiksaan dan pensijilan BI, perlu diadakan siri perbincangan profesional mengenainya dalam konteks di Malaysia. 


Soalan: Ada yang berpendapat cadangan ini jika dilaksanakan akan membantu pelaksanaan PPSMI? 

Dr; Saya rasa tidak. Ia akan menjadikan situasi masalah pembelajaran dan prestasi pelajar di sekolah menengah bertambah parah. Dasar PPSMI menunjukkan kesan negatif terhadap kebanyakan pelajar. Tidak munasabah BI diguna untuk meningkatkan pembelajaran Matematik dan Sains apabila kebanyakan pelajar sendiri (dan ada juga guru) lemah dalam BI. Sesetengah pelajar yang lemah ini dalam BI serentak lemah dalam Matematik dan Sains. Apabila PPSMI dilaksanakan, kelemahan ini terserlah dan terbukti banyak kesan negatifnya. Lebih tinggi peratus pelajar, terutama pelajar Melayu/Bumiputera yang merosot pembelajaran dan prestasi dalam kedua-dua mata pelajaran ini. Mengikut kajian, peratusan peningkatan BI juga kecil saja dan tidak signifikan. 

Ada banyak pihak membantah PPSMI. Adakah langkah mewajibkan lulus BI untuk SPM membolehkan PPSMI segera dimansuhkan. 

PPSMI perlu dimansuhkan segera. Ia tidak harus dikaitkan dengan isu syarat lulus BI dalam SPM. Yang penting disegerakan ialah langkah meningkatkan pembelajaran dan penguasaan BI di sekolah rendah dan menengah. Peruntukan untuk PPSMI lebih baik dan berkesan digunakan untuk meningkatkan P&P Bahasa Inggeris. 


No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails