
Cantiknya seorang wanita itu, sebagai gadis
Bukan kerana merah kilau lipstik
Pada bibir mekar senyum kosmetik
Cantik seseorang wanita itu, sebagai remaja
Tidak pada kulitnya mulus menggebu terdedah
Cantik seseorang wanita itu, sebagai Hawa
Tidak kerana bijak meruntuh iman kaum Adam
Cantik seseorang wanita itu, sebagai anak
Tidak menjerat diri pada kedurhakaan
Cantik seseorang wanita itu, sebagai isteri
Merempuh badai di sisi suami
Cantik seseorang wanita itu, sebagai menantu
Menjauhi persekongkolan ipar duai
Cantik seseorang wanita itu, sebagai ibu
Membuai anak, kala suami membuai mimpi
Cantik seseorang wanita itu, sebagai mentua
Telus hati mengagih kasih setara pada semua
Cantik seseorang wanita itu, sebagai nenek
Menjaring teladan para anbiya’ untuk cucu-cicit
Cantik seseorang wanita itu, sebagai warganegara
Peka membela maruah nasib Negara
Cantik seseorang wanita itu, sebagai warga tua
Menghitung hari dengan selembar mashaf
Cantik seseorang wanita itu, sebagai intelektualis
Menyala obor mewangi setanggi professionalis
Cantik seseorang wanita itu, sebagai akidah solehah
Mengandam rindu Kekasih pasrah di atas sejadah…
No comments:
Post a Comment