Cuaca tika senja ini sungguh indah, sekawan burung riang berterbangan di layar angkasa. Agaknya baru pulang dari mencari rezeki, desis hatiku. Mentari pula mula menyorokkan diri bagi memberikan peluang sinar sang rembulan menjelma...
"Subhanallah banyak sungguh nikmat-Mu. Namun, mengapa manusia masih mendustakan?"
Selang beberapa minit, seruan azan mula berkumandang, sayup-sayup di ruang angkasa menandakan waktu maghrib sudah tiba. Tanpa berlengah ku bawa diriku menghadap Pencipta yang esa. Seusainya solat, ada tazkirah yang disampaikan oleh pak imam. Hatiku berbunga.Sudah lama aku tidak mendengar tazkirah sebegini.Tika itu memoriku mengimbau kenangan indah bersama-sama rakan seperjuangan di alma mater. Rindu sungguh!!! Tajuk yang ingin disampaikan hari ini sungguh menarik, terutamanya kepada golongan remaja seperti aku.Tajuknya, 'Resepi Cinta Ibnu Athaillah'. Ayuh kita selaminya bersama...
Sidang hadirin sekalian, Ibnu Athaillah pernah mengungkapkan dalam kitabnya bahawa tidak ada yang dapat mengusir syahwat atau kesenangan dunia selain rasa takut kita kepada Allah sehinggakan mampu menggetarkan jiwa atau rasa rindu kita kepada Allah yang boleh membuatkan hati kita merana. Ingatlah, kita tidak dapat mengelakkan diri dari disapa hembusan hangatnya cinta. Namun sedarlah kembali, apakah tujuan dan matlamat penciptaan diri kita ini, iaitu semata-mata untuk beribadah kepada Allah. Sedarlah wahai pemuda, bahawa cinta pada perempuan yang bukan isteri kita adalah syahwat dan cinta kepada seorang lelaki yang bukan suami kita juga adalah syahwat. Sebaiknya kita keluarkannya daripada hati kita secepat yang mungkin. Usah dibiarkan ia terus mengotori sekeping hati kita. Hati adalah raja yang mentadbir diri kita. Jika baik hati itu, maka baiklah diri kita. Namun jika buruk hati itu, maka buruklah diri kita. Sesungguhnya perasaan itu sukar untuk kita keluarkan atau usir dari dalam diri kita melainkan kita memiliki dua perkara iaitu:-
Pertama: Rasa cinta kita kepada Allah yang luar biasa. Rasa cinta yang menggetarkan dinding hati. Sehingga di hati kita hanya timbul kecintaan mendalam kepada Allah. Cinta kepada yang selain dari-Nya akan lenyap dan terusir dengan sendirinya seperti hembusan angin meniup pepasir di padang tandus.
Kedua: Rasa kerinduan kita kepada Allah yang maha dahsyat, sehingga membuatkan diri kita terpenjara merana. Andai kita berasa merana kerana rindu kita kepada Allah, maka kita tidak mungkin merana kerana cinta kita pada yang lain. Andai fikiran kita sudah sibuk memikirkan Allah maka tiada masanya lagi otak kita ligat berfikir mengenai yang lain.
Wah sungguh menarik kata imam tersebut.Terkesan sungguh sehingga mencecah lubuk dasar hatiku. Sekarang baru ku sedar, bahawa cinta kepada manusia bukanlah seindah yang disangka kerana mungkin akan membawa kepada perpisahan tetapi cinta kepada Allah sudah semestinya kekal abadi. Begitulah tazkirah yang ringkas tetapi meninggalkan sisa positif dalam hatiku. Ingatkan tukang masak saja ada resepi yang hebat rupanya pemikir islam dahulu lebih hebat dan hangat resepinya. Begitulah resepi cinta Ibnu Athaillah, seorang ahli sufi...
sumber: www.iluvislam.com
No comments:
Post a Comment