~salam pembuka bicara~

~salam pembuka bicara~

Sunday, April 24, 2011

Kandungan Syampu Musnah DNA

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

KUALA LUMPUR: Beberapa jenama syampu di pasaran, termasuk yang popular dipercayai mengandungi bahan kimia formaldehid berlebihan sehingga mendedahkan pengguna kepada risiko kanser, alahan, ruam, kulit merekah dan lecur yang teruk.

Lebih menakutkan, formaldehid, bahan yang turut digunakan untuk mengawet mayat, boleh menyebabkan penuaan mendadak kepada pengguna, seterusnya membinasakan asid deoksiribonukleik (DNA) dan protein dalam badan pada jangka masa singkat sekiranya diambil dalam kuantiti berlebihan dan secara berterusan.

Bagi sesetengah pengeluar kosmetik, formaldehid bukan saja digunakan sebagai bahan pengawet dan penstabil dalam syampu, perapi rambut, gel mandian dan cecair pencuci tangan, malah turut digunakan untuk pembuatan produk kebersihan diri kanak-kanak.

Ahli Farmasi, Pusat Racun Negara, Sulastri Samsudin, berkata penggunaan asal bahan pengawet itu bertujuan memastikan produk yang dihasilkan mampu bertahan lima hingga enam tahun berbanding produk tanpa formaldehid yang mudah terdedah kepada pembiakan bakteria selepas enam hingga 12 bulan dihasilkan.

Namun, katanya, disebabkan sikap taksub pengguna yang mudah terpengaruh dengan iklan komersial yang memperagakan model jelita dan ternama, pengeluar produk dandanan diri mengambil kesempatan dengan mengetepikan kesan sampingan bahan kimia berbahaya itu kepada pengguna.

Bagi pengeluar terbabit, yang penting keuntungan bakal diperoleh mereka berlipat kali ganda berbanding kesengsaraan pengguna yang kurang pengetahuan mengenai saluran aduan yang betul setiap kali menghadapi kesulitan.

Menurut Sulastri, kandungan maksimum formaldehid yang dibenarkan dalam kosmetik adalah 0.2 peratus daripada keseluruhan kandungan produk manakala cecair pembersih luaran tidak melebihi 0.1 peratus.

“Bagi pengeluar produk kosmetik, mereka perlu mengisytiharkan kandungan formaldehid sekiranya penggunaan bahan terbabit dalam produk mereka melebihi 0.05 peratus.

“Mana-mana produk yang mengandungi formaldehid tidak melebihi kadar ditetapkan masih boleh digunakan semua peringkat umur termasuk kanak-kanak,” katanya.

Katanya, formaldehid adalah antara bahan pengawet yang biasa digunakan pengeluar syampu dan ia tidak mendatangkan sebarang masalah selagi mematuhi peratusan dibenarkan Kementerian Kesihatan.

“Namun dengan penggunaan yang terlalu lama dan berulang, ia boleh mendatangkan masalah kulit yang serius lebih-lebih lagi kepada pengguna yang mempunyai masalah alahan atau luka pada permukaan kulit kepala.

“Ini boleh menyumbang kepada penuaan kulit berikutan kesan negatif yang menimpa pengguna,” kata Sulastri.

Beliau berpendapat individu yang mempunyai sejarah keluarga penghidap kanser perlu lebih berhati-hati kerana mereka akan menghadapi risiko lebih tinggi berbanding pengguna biasa.

“Ia berikutan rangsangan yang dihadapi boleh mempercepatkan pertumbuhan sel-sel kanser dalam badan seterusnya meningkatkan jumlah pesakit kanser,” katanya.

Mengulas isu terbabit, Ketua Penolong Pengarah Penguat Kuasa, Unit Perlindungan Pengguna, Bahagian Farmasi Kementerian Kesihatan, Mazlan Ismail, berkata pihaknya sentiasa melakukan pemantauan bagi memastikan kandungan produk syampu di pasaran menepati Akta Racun 1952.

“Bagaimanapun, sekiranya kementerian mengesan sebarang produk yang melanggar akta berkenaan, amaran kepada pengeluar dan rampasan produk akan dibuat.

“Produk terbabit juga akan dikeluarkan daripada senarai pasaran bagi memastikan keselamatan pengguna terjamin,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), Darshan Singh, berkata pihak bertanggungjawab perlu mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kandungan setiap bahan kimia berbahaya dalam kosmetik dan alat penjagaan diri sentiasa mematuhi tahap ditentukan.

“Mereka tidak boleh berdiam diri dan bertindak berdasarkan aduan pengguna sahaja tetapi perlu merangka satu strategi untuk mengadakan sistem pantauan secara rambang pada satu jangka masa tertentu.

“Contohnya di luar negara, mereka mempunyai polisi ‘kaji semula produk’ yang membolehkan pihak berwajib menjalankan kajian terhadap produk secara rambang bagi memastikan ia sentiasa menepati gred yang ditetapkan,” katanya.

Harian metro

Sumber: www.muslimconsumer.org

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails